KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) Awam bagi Sesi Januari 2026 sudah dibuka semalam r hingga 16 November menerusi platform UP_TVET Perdana.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan rasmi https://mohon.tvet.gov.my/main/perdana.
Sekretariat Mjalis TVET Negara dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 94 institusi TVET Awam di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan 460 kursus di peringkat ijazah, diploma dan sijil bagi pengambilan kali ini.
Antara institusi yang terlibat katanya, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Institut Kemahiran MARA / Kolej Kemahiran Tinggi MARA, German-Malaysian Institute (GMI), Kolej KEDA, Kolej RISDA, Kolej KETENGAH dan Akademi Kemahiran KEMAS.
Empat lagi institusi iaitu Kolej Teknologi Termaju (ADTEC), Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Katanya, permohonan terbuka kepada lepasan sekolah, golongan belia serta individu yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang TVET.
Semua calon yang memenuhi syarat digalakkan untuk merebut peluang ini dan menyertai kursus-kursus yang ditawarkan.
Tambahnya, pada sesi pengambilan Julai 2025 yang lalu, platform UP_TVET Perdana telah menerima 182,162 permohonan daripada 42,365 pemohon dan seramai 23,038 calon telah ditawarkan tempat mengikuti pengajian sepenuh masa di pelbagai institusi TVET Awam.
Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan boleh dikemukakan melalui emel [email protected] atau menghubungi talian 019-2318243 / 019-2318264 / 019-2318291. – MalaysiaGazette
















