KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM135 juta di bawah program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) Institusi Pendidikan bagi tahun 2025 dalam usaha menangani isu bangunan sekolah daif di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, program itu memberi tumpuan kepada bangunan sekolah yang dikategorikan sebagai Skala 6, supaya tidak jatuh ke tahap lebih kritikal iaitu Skala 7, yang diklasifikasikan sebagai bangunan daif.
“Setakat ini, 300 projek sedang dilaksanakan di bawah program USNT dengan 79 projek siap, 203 dalam pelaksanaan, manakala 18 lagi masih di peringkat perancangan.
“Di Parlimen Hulu Langat, dua sekolah dikenal pasti di bawah pelaksanaan program USNT, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang yang menerima peruntukan RM850,000, dan Sekolah Kebangsaan Dusun Tua sebanyak RM300,000.
“Selain itu, dua lagi projek pembinaan semula bangunan daif yang dimulakan pada 2023 telah siap sepenuhnya, masing-masing di Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir bernilai RM4.5 juta bagi pembinaan bengkel dan bilik khas yang siap pada 22 Ogos 2024.
“Ia termasuk di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dengan kos RM5.586 juta bagi dua bangunan prasekolah yang siap pada 4 Februari 2025,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, bagi kerja penyelenggaraan dan bantuan tambahan, sebanyak RM1.65 juta turut disalurkan bagi 48 sekolah di Parlimen Hulu Langat sehingga 27 September lalu, termasuk inisiatif khas untuk kantin dan musala.
Dalam masa sama, KPM memperuntukkan RM100 juta di seluruh negara bagi pembinaan bangunan tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di 116 sekolah, termasuk tujuh di Hulu Langat seperti SMK Saujana Impian, SK Beranang, SK Taman Rakan, SK Bukit Raya, SMK Khir Johari, SMK Dusun Nanding dan SK Bandar Tasik. – MalaysiaGazette
















