KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia memandang serius kejadian rogol yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.
Menurut laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Raja Zarith Sofia turut ingin membantu dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat.
Dengan itu, baginda menitahkan Kementerian Pendidikan untuk melihat kepada keberkesanan modul di bawah kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDak) di bawah kelolaan Johor Women’s League (Jewel) yang dilancarkan pada Mei 2017.
Kempen tersebut memfokuskan kepada perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.
“Kementerian Pendidikan boleh melihat kepada keberkesanan modul di bawah kempen TinDak dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah lebih selamat serta penglibatan secara bersama ibu bapa.
“Saya juga akan membantu dalam perkara ini selain menitahkan Universiti Teknologi Malaysia menjalankan satu kajian mengenai pengaruh media sosial ke atas murid dan pelajar.
“Sekolah juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan penggunaan internet serta media sosial di rumah dan sekolah, serta menilai semula cara untuk seiring bersama arus masa kini,” titahnya.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Rusmini Ku Ahmad; dan Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Pada sesi mengadap selama hampir dua jam itu, Raja Zarith Sofia turut berkenan menzahirkan pelbagai pandangan antaranya mengenai pendidikan disiplin, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengaruh media sosial terhadap murid serta pelajar sekolah. -MalaysiaGazette
















