GEORGE TOWN – Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong, menyifatkan pelaksanaan dasar sifar miskin tegar oleh kerajaan tidak konsisten dan mengelirukan rakyat.
Tong Keong berkata, meskipun kerajaan mendakwa kemiskinan tegar hampir dihapuskan, namun kenyataan dan angka yang dikeluarkan menunjukkan sebaliknya.
Beliau juga mempersoalkan kesahihan data rasmi yang disifatkan sebagai gimik populis tanpa hasil nyata.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji dalam Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024 bahawa kemiskinan tegar akan dihapuskan menjelang hujung bulan itu.
“Namun, pada 31 Disember 2024, kerajaan sendiri mengakui masih terdapat 1,793 ketua isi rumah miskin tegar, melibatkan lebih 7,000 individu.
“Malah, kenyataan terbaharu beliau (Anwar) ketika pembentangan Belanjawan 2026 terdapat kira-kira 7,000 isi rumah miskin tegar membuktikan ketidakkonsistenan dasar kerajaan,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Oh Tong Keong turut mempersoalkan dakwaan kadar kemiskinan tegar menurun kepada 0.09 peratus, sedangkan realitinya masih ramai rakyat hidup dalam kesempitan dan tekanan hidup yang semakin meningkat.
Katanya, penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu sebanyak RM1,236 sebulan serta keyakinan kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar hujung tahun ini menimbulkan kekeliruan.
“Kerajaan guna angka untuk tutup kelemahan dasar. Kononnya rakyat hampir bebas kemiskinan tegar, tapi hakikat tekanan kos sara hidup makin membebankan.
“Dulu kata akhir 2024, sekarang kata hujung tahun ini pula. Sebenarnya hujung tahun yang mana?
“Jadi rogram ‘Sifar Miskin Tegar’ hanya gimik politik yang tidak memberi kesan nyata kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette















