KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu polis mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kejadian mengibarkan bendera Israel pada satu program di Sungai Kelantan, Jumaat lalu.
Menurut Perdana Menteri, sama seperti kes tulisan Hebrew, tindakan mengibarkan bendera Israel juga tidak sepatutnya berlaku walau atas apa matlamat atau tujuan sekali pun.
Malah, tegas beliau, perbuatan mengibarkan bendera Israel adalah bertentangan dengan dasar negara keseluruhannya, serta dasar yang merentasi pendirian pelbagai parti politik.
“Saya bersetuju supaya polis ambil tindakan yang sewajarnya, seperti negara kita sewaktu dijajah, orang yang mengangkat bendera Union (Jack) itu kita anggap sebagai pengkhianat.
“Sama juga dengan apa yang berlaku dalam soal bendera (Israel)…walau apa alasan diberikan, saya setuju supaya tindakan diambil supaya menjadi pengajaran dan tidak berlaku lagi,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung tindakan yang wajar diambil susulan kejadian bendera Israel dikibarkan dalam sebuah program yang berlangsung di Sungai Kelantan, Jumaat lalu.
Mohd Shahar turut mempersoalkan sama ada wujud tindakan dua darjat berhubung insiden itu memandangkan tindakan telah diambil kepada seorang pemilik sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menampal pelekat tulisan Hebrew dalam kejadian di Melaka.
Terdahulu, program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza yang berlangsung di Sungai Kelantan terpalit kontroversi selepas bendera Israel turut dikibarkan dan videonya tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan perdebatan dalam kalangan warga maya.
Bagaimanapun, Pengarah Program itu, Mohd. Khairul Hafiz Hassan seperti dipetik laporan media berkata, bendera Israel itu hanya gimik bertujuan memperlihatkan tindakan ganas yang dilakukan oleh rejim Zionis semasa menyerang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini, serta kekejaman ke atas penduduk Palestin. – MalaysiaGazette
















