Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad bercakap kepada media mengenai perkembangan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka ketika di Bangunan Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai dakwaan yang mengatakan pelajar Tingkatan Satu (peralihan) lelaki menikam pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama mempunyai masalah mental.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, KPM memberikan sepenuh kepercayaan kepada PDRM bagi menyiasat perkara berkenaan, termasuk senjata yang dibawa oleh pelajar lelaki itu ke sekolah.

“Perkara itu masih dalam siasatan polis dan kita tunggulah laporan polis seterusnya,” katanya pada sidang media di Kementeian Pendidikan, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah pelajar berkenaan membawa senjata ke sekolah, Dr Mohd Azam berkata, pihaknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“Semua perkara itu masih dalam siasatan polis. Kita tunggulah laporan polis seterusnya,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat laporan daripada ibubapa bahawa anak-anak mereka mengalami trauma berikutan kejadian itu, Mohd Azam berkata, pasukan kaunselor telah digerakkan bagi menilai tahap emosi pelajar dan guru yang mungkin terkesan dengan kejadian terbabit.

Selain itu, Mohd Azam berkata, pihaknya juga melaksanakan proses intervensi sokongan psikologi kepada semua yang terlibat.

“Kementerian tidak memandang kes ini sebagai kes terpencil. Ia tamparan tegas kepada kami untuk memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan mental pelajar,” katanya.

Hari ini, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan susulan kejadian bunuh membabitkan pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di Petaling Jaya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi tadi di luar kelas dalam kawasan sekolah, dengan setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast