SHAH ALAM – Polis mengesahkan pelajar perempuan tingkatan empat maut selepas ditikam berkali-kali di bahagian leher dan dada oleh rakan sekolahnya dalam kejadian tragik di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah sebelum sempat dibawa ke hospital.
“Bedah siasat telah dijalankan malam tadi dan hasil awal mendapati punca kematian akibat tikaman bertubi-tubi di bahagian leher dan dada.
“Senjata tajam yang digunakan telah dirampas dan dipercayai dibeli sendiri oleh suspek secara dalam talian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Suspek lelaki berusia 14 tahun itu ditahan oleh guru-guru sekolah selepas insiden sebelum diserahkan kepada polis.
Reman terhadap suspek selama tujuh hari telah diperoleh bagi membantu siasatan.
Shazeli menegaskan, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada dendam atau tekanan emosi yang dipendam suspek namun menolak dakwaan ia berkait penolakan cinta.
“Setakat ini tiada bukti menunjukkan ia berpunca daripada isu cinta seperti yang tular. Kami masih meneliti motif sebenar dan semua aspek siasatan termasuk latar belakang emosi kedua-dua pelajar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan siasatan awal mendapati suspek bertindak bersendirian tanpa perancangan rapi.
“Kejadian berlaku secara tiba-tiba di kawasan tandas sekolah ketika waktu rehat. Suspek menikam mangsa dan cuba melarikan diri sebelum ditahan guru,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tiada pihak ketiga terlibat dan hanya satu senjata digunakan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















