Logo IMF

NEW YORK – Hutang awam global dijangka melebihi 100% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir dekad ini, paras tertinggi sejak tahun 1948 selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi Laporan Fiscal Monitor yang diterbitkan pada hari Rabu memaklumkan peningkatan kos perkhidmatan hutang telah menambah tekanan terhadap bajet kerajaan, selain peningkatan perbelanjaan pertahanan dan penuaan populasi dunia.

“Bermula daripada tahap defisit dan hutang yang terlalu tinggi, perbelanjaan yang berterusan melebihi hasil cukai akan menyebabkan hutang terus meningkat ke paras yang lebih tinggi, sekali gus mengancam kemampanan dan kestabilan kewangan,” kata IMF.

IMF turut memberi amaran bahawa hutang global berisiko meningkat sehingga 123% daripada KDNK menjelang tahun 2029.

Minggu ini, menteri kewangan dan gabenor bank pusat dari seluruh dunia berkumpul di Washington, Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat tahunan dan Bank Dunia, untuk membincangkan dasar bagi menangani pertumbuhan ekonomi yang perlahan, inflasi yang berterusan, dan kekangan fiskal.

Laporan IMF turut menekankanera pinjaman murah antara krisis kewangan global dan pandemik Covid-19 telah berakhir, dengan kos perkhidmatan hutang kini semakin menekan bajet kerajaan.

“Kadar faedah telah meningkat dengan ketara di pasaran global, dan hala tuju masa depannya amat tidak menentu,” menurut laporan itu.

IMF menambah, sebahagian besar perbelanjaan awam digunakan untuk membayar gaji, dengan purata 25% daripada perbelanjaan di negara maju dan 28% di negara membangun.

“Perbelanjaan bagi pencen, pendidikan, penjagaan kesihatan dan gaji cenderung kekal tinggi,” jelas laporan tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast