Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin menyifatkan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat sebagai satu lagi retorik politik.

Ia hanya bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN), katanya.

Menurut Danish, langkah itu mencerminkan tekanan kepimpinan yang sedang dihadapi Muhyiddin dalam partinya sendiri serta kehilangan kepercayaan rakan sekutu dalam PN.

“Gabungan baharu ini bukan tanda kekuatan tetapi percubaan menutup retak yang semakin melebar dalam PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa kononnya 11 parti luar blok kerajaan yang diumumkan hanyalah gabungan longgar tanpa agenda baharu untuk rakyat sebaliknya sekadar usaha membina persepsi bahawa bekas Perdana Menteri itu masih relevan dalam arena politik.

“PN bukan satu entiti yang harmoni. Banyak parti dalam gabungan itu mempunyai keinginan dan aspirasi tersendiri. Dengan mewujudkan Ikatan Prihatin Rakyat, Muhyiddin cuba menampilkan diri sebagai penyatu di luar PN agar mana-mana pihak yang kecewa boleh ‘lompat’ ke projek beliau tanpa stigma pengkhianat,” katanya.

Danish berkata, rakyat kini lebih matang dan tidak lagi tertarik dengan retorik pembentukan gabungan politik baharu sebaliknya menilai berdasarkan rekod pentadbiran lalu.

“Rekod pentadbiran Muhyiddin telah meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi, kestabilan politik dan kepercayaan rakyat.

“Kerajaan Madani hari ini memberi tumpuan kepada reformasi sebenar, pengukuhan ekonomi dan perlindungan sosial yang lebih adil bukan mencipta pakatan baharu demi menyelamatkan karier politik lama,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan gabungan baharu yang hanya indah pada nama.

“Usahlah ‘tertipu baja bunga’ nampak manis pada bungkusan tetapi kosong isinya. Keadilan dan kerajaan Madani akan terus bekerja dengan fakta, bukti dan integriti untuk membela nasib rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast