Ketua Pengakap Negara, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin telah dipilih sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik yang baharu.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengakap Negara, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin telah dipilih sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik yang baharu.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Persidangan Pengakap Asia Pasifik ke-28 yang sedang berlangsung di Kaohsiung, Taiwan.

Mohd. Zin menyatakan komitmennya untuk terus memperkasa Pergerakan Pengakap di rantau ini dengan memberi fokus memperkasa tadbir urus selaras dengan APR Strategy Triennial Plan 2025–2028.

Ketua Pengakap Negara, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.

“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada Malaysia, tetapi juga satu tanggungjawab bersama membuka ruang untuk semua remaja di rantau Asia-Pasifik menyertai Pengakap serta mempertingkat keahlian di kalangan negara baharu di Pasifik Selatan, Rusia dan Asia Tengah, ” ujarnya dalam kenyataan.

Justeru Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd. Zin atas pelantikan beliau.

Pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan Malaysia dalam Pergerakan Pengakap peringkat antarabangsa.

Ia juga mencerminkan kepimpinan strategik, semangat inovatif serta dedikasi beliau terhadap pembangunan generasi muda dan pengukuhan semangat Pergerakan Pengakap sejagat.

Mohd. Zin, seorang tokoh berwibawa dalam bidang ketenteraan, akademik dan kesihatan merupakan individu yang berdisiplin tinggi, berwawasan luas, berintegriti serta berfikiran jauh.

Beliau juga merupakan Dekan pertama Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan Formula 1 Grand Prix Malaysia dan Pengerusi Institut Sukan Negara, selain menerima pelbagai anugerah berprestij seperti Fabulous Global Education Leaders Award (2019) dan Education Excellence Award (2015).

Hampir 400 ahli Pengakap dari seluruh rantau Asia Pasifik berhimpun di Kaohsiung bagi menghadiri persidangan selama seminggu yang dianjurkan oleh General Association of the Scouts of China (Taiwan).

Persidangan di Taiwan menghimpunkan kepimpinan daripada 33 Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO) bagi meraikan pencapaian tiga tahun lalu serta merangka hala tuju baharu Pergerakan Pengakap di rantau ini.

Usaha itu bertujuan memperkukuh perpaduan, mempererat dialog dan memperbaharui komitmen bersama dalam memajukan Pergerakan Pengakap di seluruh rantau Asia Pasifik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast