KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membangunkan laman web khas bagi membolehkan warga tempatan yang bekerja di Singapura yang terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia (LLM) turut mendapat manfaat daripada insiatif Program Budio Madani RON95 (BUDI95).
Menterinya, Anthony Loke berkata, warga tempatan terlibat boleh mendaftar menerusi laman web itu dan semua permohonan yang diterima akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian dan pertimbangan kelayakan selanjutnya.
Menurut beliau, antara perkara yang akan dipertimbangkan adalah pemohon mesti merupakan warganegara Malaysia, mempunyai Lesen Memandu Singapura (LMS) yang sah tempoh dan status permit pekerjaan di Singapura.
“Bagi warganegara Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada keperluan peraturan domestik Singapura untuk memegang LMS, mereka boleh memohon semula LMM dengan terlebih dahulu membatalkan LMS melalui prosedur sedia ada di Singapura,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Terdahulu, MoT menerima aduan daripada warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura berkenaan pelaksanaan BUDI95 khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.
Menurut peraturan pelesenan pemandu Malaysia dan Singapura, seseorang pemandu hanya dibenarkan untuk memiliki satu lesen memandu iaitu dari Malaysia atau Singapura.
Oleh itu, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura terutamanya dalam sektor yang melibatkan tugas pemanduan terpaksa melepaskan LMM untuk mendapatkan LMS walaupun mereka berstatus warganegara Malaysia, menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan motor berdaftar di Malaysia yang digunakan dalam negara ini.
Sementara itu, Anthony berkata, permohonan mendapatkan semula LMM boleh dibuat di mana-mana Pejabat JPJ setelah disahkan bahawa tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan terhadap LMS tersebut oleh pihak berkuasa Singapura.
Jelasnya, laman web permohonan subsidi BUDI95 bagi individu terlibat boleh diakses di www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my bermula esok.
Ujar beiau, pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui laman web rasmi BUDI95 di www.budi95.gov.my selepas 14 hari daripada tarikh penghantaran permohonan.
“Pertimbangan akhir ke atas setiap permohonan adalah di bawah bidang kuasa MoF berdasarkan semua syarat yang telah ditetapkan di bawah program subsidi BUDI95.
“Kita berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan program subsidi bahan api negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















