KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak menyentuh isu cukai terhadap produk vape dalam Belanjawan 2026, walaupun menaikkan cukai eksais terhadap rokok dan produk tembakau yang dipanaskan.
Beliau berkata, ketiadaan cadangan menaikkan cukai terhadap vape menimbulkan persoalan, memandangkan produk itu semakin meluas penggunaannya dan sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.
“Kerajaan menaikkan cukai terhadap rokok dan produk tembakau, tetapi tidak menyentuh langsung mengenai vape.
“Mengapa tidak ada langkah sama terhadap produk ini, sedangkan isu vape semakin serius di negara kita?” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
Kata Teresa ,Malaysia kini mempunyai industri pembuatan produk vape yang aktif dan menjadi antara pengeksport utama ke negara jiran.
“Mengikut data Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), nilai industri vape tempatan dianggarkan berjumlah RM3.48 bilion pada tahun 2023 meningkat 53 peratus berbanding RM2.27 bilion pada 2019.
“Sekiranya kerajaan mengambil keputusan melarang vape sepenuhnya, ia akan memberi kesan besar kepada pengusaha industri dan mengurangkan hasil cukai negara.
“Larangan total tidak akan menghentikan penggunaan vape, malah akan menggalakkan penyeludupan serta mengukuhkan pasaran gelap,” ujarnya.
Dari sudut kesihatan, Teresa berkata vape juga boleh digunakan sebagai alternatif bagi perokok tegar yang ingin berhenti merokok.
“Vape dengan kandungan nikotin rendah boleh membantu perokok beralih secara berperingkat sebelum berhenti sepenuhnya,” katanya.
Namun, beliau menegaskan pada masa sama kawalan ketat perlu dikenakan terhadap industri vape sebelum kerajaan membuat keputusan melarang penggunaannya.
“Kerajaan tidak harus bertindak terburu-buru. Kawalan ketat lebih berkesan daripada larangan penuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan hanya mengharamkan penggunaan vape jenis “open system” yang membolehkan pengguna mencampur bahan sendiri seperti ganja dan dadah.
“Vape jenis ini menjadi tarikan utama kepada golongan muda kerana boleh diubah suai dan menghasilkan pelbagai perisa.
“Hanya “closed system” wajar dibenarkan untuk dijual, iaitu produk yang dikawal terus oleh pengilang atau pengimport berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pemantauan kualiti bersama SIRIM,” ujarnya. -MalaysiaGazette















