KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dan Koperasi Wawasan Bukit Mas menubuhkan Pusat Penyelidikan Setempat di Danau Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan bagi menjalankan pelbagai kajian dan program pembangunan komuniti berasaskan tenaga boleh baharu, teknologi hijau, agro-pelancongan dan inovasi sosial.
Antara tiga projek utama adalah Optimization of Distribution Power Loss, kajian kawalan pertumbuhan kiambang yang menjejaskan operasi tenaga solar terapung, dan projek akuakultur untuk membangunkan model ekonomi berasaskan penternakan lestari.
Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2026.
“Universiti Malaya komited untuk memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.
Penubuhan pusat ini menjadi platform penyelidikan dalam bidang hidrologi, tenaga solar, teknologi hijau, akuakultur dan agro-pelancongan yang berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar.
“Usaha ini turut menyokong sasaran kerajaan memperkukuh kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan sektor koperasi untuk melahirkan komuniti berpengetahuan, berdaya saing serta berorientasikan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Azuan turut mengucapkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas sokongan dan peranannya dalam menjayakan inisiatif ini, yang dianggap sebagai contoh terbaik kerjasama antara universiti dan masyarakat.
“Usaha seperti ini penting dalam menjayakan agenda pembangunan lestari dan inovasi sosial yang memberi impak jangka panjang kepada masyarakat,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Wawasan Bukit Mas, Md Eusope Ibrahim berkata, kerjasama itu penting bagi memperkukuh ekonomi setempat serta meperluas pembangunan komuniti luar bandar.
Tambahnya, ia bukan sekadar pemacu ekonomi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial serta kesejahteraan masyarakat, dan berterima kasih kepada SKM Negeri Kelantan serta semua pihak yang memberikan bimbingan dan dorongan berterusan kepada koperasi.
Beliau berharap projek ini menggalakkan lebih banyak koperasi di Malaysia meneroka bidang penyelidikan dan inovasi melalui kerjasama dengan institusi akademik bagi memajukan komuniti setempat. -MalaysiaGazette















