Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bersama anggota trafik pada Majlis Amanat Penugasan kepada Bantuan Sumber Manusia di Pulapol, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat dan dilencongkan sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 (ASEAN Summit 2025) yang bermula 26 hingga 28 Oktober ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 1,111 pegawai dan anggota trafik JSPT turut digerakkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang tempoh sidang itu.

“Penugasan JPST terdiri daripada 91 pegawai kanan dan 1,020 pegawai rendah polis yang akan bermula 17 hingga 29 Oktober untuk kawalan lalu lintas, pengiringan kenderaan orang kenamaan, serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya Asean Summit.

“Raptai (dry run) pergerakan motoked akan dijalankan esok hingga 24 Okt melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, KLIA dan Pangkalan Udara TUDM Subang ke hotel-hotel penginapan delegasi sekitar Kuala Lumpur.

“Ia termasuk laluan ke Seri Negara dan laluan ke Pusat Konvention Kuala Lumpur (KLCC),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Penugasan kepada Bantuan Sumber Manusia di Pulapol di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap dalam sidang media Majlis Amanat Penugasan kepada Bantuan Sumber Manusia di Pulapol, di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan antara laluan terlibat termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.

Jalan lain yang adalah Lebuh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lingkaran Putrajaya, dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.

Tambah Mohd Yusri, Malaysia akan menerima delegasi besar negara ASEAN pada 26 Oktober dan tiada penutupan atau lock down secara keseluruhan di ibu negara sepanjang tempoh itu.

Lockdown di KL itu kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap secara keseluruhan dan mesyuarat ASEAN ini akan melibatkan ketibaan pemimpin negara besar terutamanya seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Menjadi tanggungjawab PDRM mengawal keselamatan dan memantau kesesakkan lalu lintas dengan melakukan penyuraian, lencongan dan penutupan secara berkala untuk memudahkan pergerakkan delegasi hadir mesyuarat,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk mengelak laluan yang terlibat dengan lencongan dan penguaraian trafik serta menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel atau bas sepanjang tempoh persidangan.

“Bagi petugas media, petugas kesihatan dan mereka yang menjalankan tugas rasmi, kemudahan melalui jalan raya yang dilencongkan akan diberikan dan perlu menunjukkan pas rasmi masing-masing selain perlu merancang perjalanan lebih awal namun jika kedatangan orang kenamaan terlalu hampir, anggota trafik tidak akan benarkan,” jelasnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka akan hadir ke sidang kemuncak itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast