KUALA LANGAT – Kejadian puting beliung dan ribut yang melanda Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Telok Panglima Garang, di sini, pada petang Rabu merupakan insiden pertama sejak 42 penubuhannya pada 1983.

Tinjauan MalaysiaGazette ke lokasi kejadian hari ini mendapati, hampir semua bangunan sekolah tiada bumbung selepas diterbangkan angin selaju 166 kilometer sejam (km/j) dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang pada Rabu.
Bangunan Blok D Sk Kg Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat yang menempatkan kelas darjah dua dan tiga mengalami kerosakan teruk selepas dibadai ribut dan puting beliung kira-kira jam 4.30 petang pada Rabu.

Dataran Berbumbung yang digunakan untuk perhimpunan para pelajar dan guru antara kemudahan yang terjejas teruk selepas struktur utama, tiang dan bumbungnya runtuh serta musnah sepenuhnya.

SK Kg Medan yang mempunyai 1,217 pelajar dan 59 tenaga pengajar diisytiharkan kawasan tidak selamat selepas pihak berkuasa membuat penilaian awal, lewat petang semalam.
Memandangkan banyak struktur utama termasuk kelas, kantin dan pejabat pentadbiran rosak teruk, pihak sekolah terpaksa mengaktifkan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga proses pembaikan selesai.
Salah seorang guru ditemui yang enggan dikenali memberitahu, kebanyakan infrastruktur terjejas kerana berada di laluan puting beliung yang memusnahkan Dataran Berbumbung.
Turut terjejas blok kelas tahun satu, dua dan tiga serta kantin, laman kelulut dan laman diskusi yang terletak bersebelahan Dataran Berbumbung sekolah terbabit.
Sisa bumbung diterbangkan kira-kira 200 meter dari SK Kg Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat selepas dibadai ribut dan puting beliung kira-kira jam 4.30 petang pada Rabu

Tinjauan di sekitar sekolah itu juga mendapati, banyak sisa binaan yang diterbangkan dalam insiden itu dan bertaburan di merata tempat termasuk padang sekolah.

Antaranya kerangka bumbung, atap zink, penebat haba, serpihan kaca, tiang besi, papan tanda dan wayar elektrik.
Turut kelihatan beberapa paip utama pecah dan air bersemburan di beberapa tempat di sekitar sekolah.
Bagaimanapun, kejadian ribut di SK Kg Medan tidak melibatkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan pelajar dan tenaga pengajarnya setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast