Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memantau perkembangan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) khususnya yang berkaitan dengan sektor strategik, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini belum ada pengumuman rasmi dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump mengenai pelaksanaan tarif tambahan terhadap produk semikonduktor melalui kenyataan di media sosialnya baru-baru ini.

“Walaupun tarif sektoral ini berada di luar skop rundingan Agreement on Reciprocal Trade (ART), kerajaan tetap berusaha untuk menangganinya melalui saluran rundingan sedia ada di bawah ART.

“Pada masa yang sama, kerajaan sedang menilai potensi impak serta merangka langkah mitigasi yang sesuai termasuk menyemak strategi perdagangan dan pelaburan untuk
melindungi kepentingan industri tempatan.

“Kerajaan juga sedar bahawa tarif sektoral yang dikenakan terhadap produk import ke AS tidak meliputi syarikat yang telah atau sedang membina kemudahan pengeluaran di Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Trump melalui kenyataan di media sosialnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mdenjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah perlindungan untuk industri semikonduktor, perabot dan barangan lain yang dilandai tarif AS sebanyak masing-masing lebih 100 peratus, 25 peratus dan 19 peratus.

Turut ditanya masalah lambakan yang akan berlaku dan impak negatifnya dalam kehilangan nilai perdagangan dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

Berhubung risiko lambakan dan kesannya terhadap ekonomi, Tengku Zafrul berkata, MITI sedang memantau kemungkinan peningkatan import berharga rendah dari negara-negara yang terjejas akibat pengenaan tarif tinggi oleh AS.

Jelas beliau, apabila pasaran AS menjadi kurang menarik disebabkan tarif yang tinggi, pengeluar dari negara terlibat mungkin mencari pasaran alternatif termasuk di rantau ASEAN dan Malaysia bagi meneruskan operasi pengeluaran serta mengelakkan lebihan stok.

Menurutnya, pengalihan perdagangan ini boleh menyebabkan kemasukan barangan berharga rendah ke pasaran Malaysia, sekali gus menekan harga pasaran dan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan.

“MITI memainkan peranan penting dalam melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil melalui pelaksanaan langkah-langkah remedi perdagangan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993, Peraturanperaturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, Akta Pelindung 2006 serta Peraturan Pelindung 2007, dan juga memenuhi obligasi antarabangsa di bawah perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation – WTO).

“Baru-baru ini, MITI telah meminda Akta Duti Timbal Balas dan AntiLambakan 1993, yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2025 dan Dewan Negara pada 10 September 2025 bagi memperkukuh kuasa siasatan, meningkatkan kecekapan pelaksanaan, serta mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan terhadap amalan perdagangan tidak adil.

“Langkah-langkah ini bertujuan memastikan import yang memasuki pasaran Malaysia mematuhi prinsip perdagangan yang adil dan tidak menjejaskan industri tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast