Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Ni Ching bercakap pada sidang media selepas memberi penghormatan terakhir di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta henti menularkan gambar dan video mangsa berusia 16 tahun serta suspek dalam kes tikaman di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pada Selasa lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Chin berkata, tindakan menularkan gambar, serta barangan kes dalam kejadian itu boleh memberi kesan buruk kepada keluarga serta melanggar peruntukan undang-undang.

“Saya memang nak nasihatkan netizen seperti kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di mana semua pihak jangan tularkan gambar-gambar mangsa dan suspek kerana ia satu kesalahan mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

“Akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa tidak boleh sesiapa mendedahkan gambar yang melibatkan kanak-kanak iaitu mereka berumur 18 tahun ke bawah,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas memberi penghormatan terakhir pada mendiang pelajar Tingkata 4 itu di Nirvana Memorial Center, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah ayah tiri mangsa, How Boon Chin; bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

Ibu kepada Yap Shing Xuen, Wong Lee Ping dan Bapa Tiri kepada Yap Shing Xuen, How Boon Chin bergambar bersama selepas sidang media di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

Nie Ching menambah, penyebaran gambar sedemikian bukan sahaja menjejaskan emosi masyarakat, malah boleh menambah penderitaan kepada keluarga mangsa.

“Saya rasa gambar-gambar di mana mangsa berada di tempat insiden juga apabila kawan-kawan mereka nampak akan membuat mereka rasa sangat sedih.

“Apabila kita nak tunjuk simpati, sebagai ibu bapa dan manusia, kita pun rasa sakit hati. Tetapi pada masa sama, kita perlu tahu tindakan kita mungkin menyakiti ibu bapa dan ahli keluarga mangsa lebih banyak.

“Informasi yang kita tak pasti, tolong jangan kongsi. Gambar-gambar yang tak cantik itu, jangan kongsi sebagai hormat kepada mangsa,” jelasnya.

Mengenai penggunaan media sosial yang dilihat menjadi faktor pengaruh kepada kes buli dan jenayah dalam kalangan remaja, beliau berkata, kerajaan sedang berbincang dengan penyedia platform media sosial bagi memperketat kawalan penggunaan.

“Seperti yang disebut oleh Menteri Komunikasi, kami sekarang tengah berbincang dengan platform provider kerana memang mereka ada garis panduan masing-masing.

“Banyak yang cakap bahawa kalau umur bawah 13 tahun tidak boleh menggunakan media sosial tetapi jika tiada sistem untuk memeriksa dan hanya bergantung kepada pengisytiharan diri, saya minta maaf untuk mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan,” katanya.

Nie Ching menambah, tanggungjawab membendung penyebaran maklumat palsu serta kandungan tidak sesuai bukan hanya terletak kepada ibu bapa, tetapi juga penyedia platform media sosial.

“Saya terima aduan daripada pakcik mangsa yang memaklumkan ada individu mendakwa dirinya ayah kepada suspek, tetapi bukan. Saya pun tak boleh turunkan hantaran tersebut, perlu minta MCMC maklumkan kepada Meta untuk turunkan hantaran itu.

“Kadang-kadang Meta ambil dua jam, dua hari atau dua minggu untuk turunkan, itu di luar kawalan kami. Jadi saya selalu tegas di sini, platform perlu main peranan mereka kerana mereka mengawal ruang ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast