KUALA LUMPUR – Tiada pelajar dilaporkan cedera atau menerima rawatan di hospital dalam kejadian pergaduhan sekumpulan pelajar sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular memaparkan kejadian itu sekitar jam 8.30 pagi.
Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah datang ke sekolah terlibat kira-kira jam 10 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan membabitkan pelajar berusia 14 tahun itu berlaku di kawasan sekolah berkenaan.
“Satu perbincangan tiga hala telah diadakan antara pihak sekolah, ibu bapa atau waris pelajar bersama pihak polis untuk tidak mengambil tindakan lanjut serta menyelesaikannya secara berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang mendatangkan ketakutan dan pihak yang menyebarkan boleh diambil tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette
















