Rakaman gambar kibaran bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan.- Gambar tular.

KUALA LUMPUR – Peguam bela dan peguam cara, Nik Saiful Adli Burhan berpandangan tidak wajar untuk penganjur program solidariti untuk Palestin di Sungai Kelantan baru-baru ini didakwa di mahkamah.

Ini kerana, kata Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan itu, kontroversi kibaran bendera Israel pada program itu tercetus disebabkan kerana fitnah.

Jelas beliau, pada Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza itu terdapat gimik lakonan sebuah bot membawa bendera Israel menyerang bot-bot membawa bendera Palestin.

Namun pada akhir lakonan itu, bot Palestin menumpaskan bot Israel dengan bendera berkenaan dicabut dan dipijak beramai-ramai.

“Ini apa yang berlaku dalam program tersebut. Hanya diketahui dan dilihat oleh pengunjung yang hadir serta orang yang melihat keseluruhan video gimik tersebut,” katanya menerusi laman sosial  hari ini.

Nik Saiful Adli Burhan

Bagaimanapun, tambah beliau, terdapat individu tidak bertanggungjawab yang kemudiannya menyunting video itu secara separuh iaitu bahagian kibar bendera Israel sahaja dan menularkan tangkap layar video tersebut bagi tujuan melakukan fitnah bagi menjatuhkan penganjur.

Tidak kurang ada yang mengambil peluang menggunakan video dan gambar fitnah tersebut sebagai modal politik menyerang Kerajaan Negeri Kelantan yang berbeza ideologi politik.

“Kebangkitan kemarahan rakyat dan netizen mahu pun ulasan pemimpin hanyalah berasaskan kepada fitnah yang tersebar bukannya fakta selepas siasatan menyeluruh dan penjelasan oleh penganjur,” katanya.

Sementara itu, Nik Saiful Adli berkata, pengibaran bendera Israel pada program tersebut bukan sesuatu yang jelas haramnya mengikut hukum syarak sebagaimana melakonkan watak Nabi Muhamad SAW, malaikat atau perbuatan menyerupai agama (tasyabbuh bil kuffar) yang jelas keharamannya.

Sebaliknya, kata beliau, ia sama seperti sambutan Hari Kemerdekaan yang melakonkan watak penjajah dengan membawa bendera Union Jack, bendera Jepun dan memakai pakai tentera komunis dan diakhiri dengan laungan merdeka.

“Dari sudut agama, ia bukanlah suatu yang haram. Mengikut undang-undang juga, ia bukanlah ada niat menghasut dan menimbulkan keresahan awam (melainkan ianya diputarbelitkan menjadi fitnah),” katanya.

Tambahnya, salah faham netizen kerana terlebih dahulu mendapat video atau gambar yang dipotong dan disunting secara fitnah bukanlah dosa yang patut ditanggung oleh penganjur.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan dan penguasa undang-undang sewajarnya memberikan penjelasan, membantu untuk membetulkan fitnah bukan mengambil langkah mengikut kehendak majoriti netizen.

“Di dalam keadilan dan undang-undang, tiada demokrasi. Meskipun hanya seorang menyokong, yang benar tetap benar tetapi inilah hakikat akhir zaman. Dunia penuh fitnah. Yang benar dilihat salah, yang majoriti tak semestinya betul.

“Namun adakah kita masih memilih takut kehilangan pengundi berbanding takut hilang redha Allah?” soalnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan berhubung insiden pengibaran bendera Israel semasa program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” kepada pihak pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya turut memanggil penganjur program terbabit bagi siasatan lanjut dan individu terlibat dijangka didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast