SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka terhadap MIC untuk membuat keputusan sama ada mahu kekal atau sebaliknya di dalam gabungan itu.
Bagaimanapun Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya parti itu akan menbuat keputusan yang bijak.
“BN terbuka, dulu ada 14 parti-parti komponen dalam BN dan tidak ada paksaan untuk masuk atau keluar
“Jadi tentunya mereka (MIC) akan buat satu keputusan yang bijak bagi menentukan gabungan mana yang mereka akan sertai asalkan mereka tidak akan kenyesal di kemudian hari,” katanya ketika ditemui pada ASEAN Sports Industry Expo 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya MIC membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan berkenaan.
Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa ini bukan kali pertama MIC tidak menjemputnya untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 November depan.
Jelas Ahmad Zahid, ini kerana parti itu ingin menggunakan pentas AGM untuk menyelesaikan masalah dalamannya.
“Tentu kita beri ruang seluasnya untuk mereka menyelesaikan masalah itu,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengesahkan parti itu tidak menjemput Ahmad Zahid pada AGM akan datang.
Ujarnya, AGM kali ini diadakan hanya sehari dan akan memfokuskan kepada hal dalaman parti.
Vigneswaran berkata keputusan sama ada MIC akan kekal atau meninggalkan BN akan dibincangkan pada mesyuarat tersebut. -MalaysiaGazette
















