Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram bercakap pada sidang media khas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, Kelana Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 17 OKTOBER 2025.

KELANA JAYA – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman telah digantung tugas berkuatkuasa hari ini susulan siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, tindakan itu diambil bagi membolehkan jawatankuasa bebas menyiasat berkaitan insiden pemalsuan dokumen pemain tersebut yang didakwa FIFA sebelum ini.

“Berhubung kes FIFA, Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan badan bebas melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, di sini.

Noor Azman Rahman

Beliau menambah, penggantungan Noor Azam itu bagi memboleh FAM proses siasatan secara telus tanpa sebarang pengaruh dalaman.

Noor Azman mula memegang jawatan Setiausaha Agung FAM pada 1 September 2022, menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar, dan sekali lagi dilantik untuk penggal 2025-2029 pada Februari 2025.

Kelmarin, FAM mengesahkan sudah mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu membabitkan dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan rayuan itu dikemukakan pasukan peguam sebelum tarikh akhir untuk melakukan proses itu yang berakhir waktu Malaysia.

Mohd Yusoff memaklumkan proses rayuan itu dikendalikan pasukan peguam luar negara yang dilantik dan beliau percaya dokumen yang dikemukakan juga dibuat lebih kemas dan teliti.

Sebelum ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.

Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

FAM dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast