BUTTERWORTH – Kerajaan mengoptimumkan kepakaran pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia apabila Kementerian Pertahanan akan menyenaraikan veteran terbaik Grup Gerak Khas (GGK) mengisi kekosongan dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penyertaan itu akan melibatkan bekas anggota yang menamatkan perkhidmatan dan pemilihan seterusnya akan dibuat oleh AKPS mengikut keperluan operasi menjaga pintu masuk negara.
Menurutnya, langkah tersebut bukan hanya tertumpu kepada GGK malah turut merangkumi tenaga daripada pasukan elit lain seperti 10 Briged Para.
“Keutamaan tetap kepada komando GGK dan kita akan bekerjasama dengan AKPS untuk proses penempatan. Walaupun pengambilan dilakukan pihak agensi, Kementerian Pertahanan akan menyediakan senarai anggota terbaik dalam kalangan yang bersara bagi ditempatkan di pintu sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025 Edisi Utara di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.
Dalam program itu, Adly menyampaikan sijil kepada 29 veteran tentera sempena Majlis Graduasi Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 1.0 serta menyaksikan pendaftaran baharu bagi fasa 2.0.
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman di bawah Belanjawan 2026 yang memberi keutamaan kepada veteran sebagai pengisian 220 jawatan baharu di AKPS bagi kesiapsiagaan penuh agensi.
Sebelum ini, ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, Adly memaklumkan pengambilan veteran GGK ke AKPS adalah sebahagian strategi kerajaan memperkukuh kawalan sempadan negara.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memanfaatkan pengalaman operasi dan kemahiran ketenteraan yang dimiliki anggota elit bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan keselamatan nasional. – MalaysiaGazette
















