KUALA LUMPUR – Kehadiran pelajar ke sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya di mana berlakunya kes pembunuhan seorang pelajar Tingkatan Empat baru-baru ini, menurun dalam tempoh dua tiga hari lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia disebabkan pelajar khususnya yang menyaksikan kejadian tersebut masih trauma dengan apa yang berlaku.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru, dan anak-anak terhadap tahap keselamatan di sekolah, serta memulihkan kesan trauma, Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan para ibu bapa, guru dan pelajar bagi memperingati pelajar yang menjadi mangsa.
Selain itu, ujar beliau, kerajaan negeri juga mengambil langkah pantas seperti pendaftaran pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah.
Jelasnya, proses itu akan melibatkan perbincangan bersama para ibu bapa sekolah tersebut dan merangkumi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan (KPM), polis serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.
“Ini kerana insiden sebegini tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bermesyuarat pagi tadi bagi mengambil beberapa ketetapan untuk disegerakan berikutan perkembangan terkini berkait sistem pendidikan negara.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1 juta untuk vaksin Influenza A disuntik secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah, iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang, dan Petaling.
Katanya, program itu akan bermula seawal minggu depan dan pelaksanaanya akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Selain itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM64,000 sebagai bantuan bencana susulan kejadian ribut di Sijangkang baru-baru ini, merangkumi RM1,000 kepada setiap 64 ketua keluarga yang mengalami kerosakan rumah.
“Jabatan Kesihatan Negeri turut mengesan seramai 14 penduduk termasuk seorang pegawai pusat khidmat yang mengalami kecederaan akibat kejadian ribut itu.
“Kesemua mereka sedang dirawat di Hospital Kerajaan dan akan diberikan bantuan RM1,000 seorang,” katanya.
Tambah beliau, bagi membaiki kerosakan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan pula, kerja-kerja baik pulih akan menelan kos sebanyak RM320,000 dan akan diperuntukkan sepenuhnya di bawah Tabung Bencana Negeri supaya pelajar-pelajar dapat kembali ke sekolah dengan selamat. – MalaysiaGazette
















