KUALA LUMPUR – Kerajaan harus segera menggubal Rang Undang-Undang (RUU) keselamatan sekolah dan komuniti peringkat kebangsaan yang menyatukan dasar-dasar sedia ada untuk memperjelaskan tanggungjawab dan kuasa sekaligus mewujudkan sistem akauntabiliti.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, ia demi memastikan keselamatan di sekolah dipantau berlandaskan undang-undang.
Jelasnya, RUU tersebut perlu merangkumi sebuah sistem laporan wajib untuk guru, kakitangan sekolah, kaunselor, petugas kesihatan dan pemimpin komuniti berkaitan sebarang kes atau perbuatan buli, serangan seksual atau penderaan pelajar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pihak polis termasuk tindakan tatatertib seperti denda atau penggantungan kerja.
“RUU ini juga membolehkan penubuhan pejabat bebas Pesuruhjaya Keselamatan Sekolah yang bertanggungjawab kepada Kementerian Pendidikan tetapi beroperasi secara bebas untuk menerima aduan, menjalankan siasatan, mengarahkan pembetulan di sekolah dan membentangkan laporan tahunan untuk semakan awam,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, Yee Fung turut mencadangkan supaya Pembelajaran Sosial dan Emosi dimasukkan sebagai kurikulum teras dari peringkat sekolah rendah.
Jelas beliau, ia bagi membentuk pelajar dengan kemahiran mengurus emosi, menyelesaikan konflik, empati, kesedaran kesaksamaan gender dan hak ke atas tubuh sendiri sekali gus langkah pencegahan awal terhadap budaya buli dan keganasan.
Tambahnya, Pasukan Khas Perlindungan Kanak-Kanak dan Remaja boleh ditubuhkan bagi mengatasi masalah birokrasi antara agensi dan memastikan mangsa mendapat bantuan dengan segera dan menyeluruh.
Ia susulan terdapat kelemahan terhadap sistem sedia ada yang berpunca daripada kurangnya penyelarasan antara Kementerian Pendidikan (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menyebabkan mangsa gagal mendapatkan bantuan sewajarnya, ujarnya lagi.
“Kami mencadangkan supaya pasukan khas ini diketuai oleh Jabatan Perdana Menteri dan menggabungkan KPM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, JKM, KKM, PDRM dan Jabatan Peguam Negara di mana satu perjanjian kerjasama antara agensi diwujudkan dan dimeterai dan satu pangkalan data sulit bagi kes berisiko tinggi dibangunkan untuk membolehkan maklumat dikongsi secara masa nyata antara agensi dan tindakan segera diambil.
“Kami juga mencadangkan penubuhan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital utama atau kawasan yang ditetapkan di mana mangsa bawah umur boleh menjalani pemeriksaan perubatan, pengumpulan bukti forensik, kaunseling dan membuat laporan polis di satu tempat, dibantu sepenuhnya oleh pasukan profesional terlatih dalam trauma,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu menyediakan latihan berterusan secara wajib kepada guru, polis, pekerja sosial dan petugas kesihatan untuk mengesan tanda-tanda penderaan, memberi sokongan psikologi, dan mengurus prosedur undang-undang dengan penuh profesionalisme.
“Kerajaan harus melancarkan satu kempen kesedaran dan pemberdayaan masyarakat peringkat kebangsaan untuk memecahkan budaya berdiam diri terhadap keganasan dan penderaan di sekolah serta menjadikan setiap warga negara sebagai pelindung kanak-kanak,”katanya lagi.- MalaysiaGazette
















