KUANTAN – Taktik licik sindiket penjualan ketum menyembunyikan daun ketum dalam bungkusan jerami terbongkar menerusi satu serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Kuantan di hadapan sebuah rumah di Felda Lepar Hilir 1, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, lapan suspek warga tempatan yang terlibat berjaya diberkas ketika serbuan itu bersama daun ketum seberat lebih 500 kilogram (kg).
“Ketika pihak polis sampai, ada sebuah lori berwarna putih di lokasi. Terapat enam lelaki yang berumur lingkungan 18 tahun sehingga 45 tahun sedang memunggah sesuatu daripada lori. Pada masa sama terdapat dua lagi lelaki di garaj rumah.
“Pemeriksaan polis mendapati kira-kira 23 bungkusan plastik lutsinar mengandungi jerami padi sedang dipunggah keluar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Setelah diperiksa, Ashari berkata, pihaknya mendapati bungkusan terbabit mengandungi daun ketum segar yang disimpan bersama pek ais dengan berat anggaran 509.7 kg.
Hasil siasatan awal, beliau berkata, dua daripada suspek yang memandu lori mengaku telah menerima bayaran upah RM1,200 bagi setiap penghantaran.
Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan sindiket untuk memasak ketum itu antaranya, dua unit tong gas, dua unit dapur gas dan dua unit periuk besar.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak dua bulan lepas. Maklumat awal kita syaki bahawa kesemua daun ketum itu diperoleh daripada negeri di utara tanah air.
“Suspek dipercayai menempah daun ketum dari sana dan dibawa ke lokasi itu melalui satu syarikat penghantaran swasta untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Untuk makluman, anggaran nilai rampasan adalah kira-kira RM20,400. Sekiranya diproses, nilainya boleh mencapai sehingga RM50,000,” tambahnya.

Jelas Ashari, sekiranya daun ketum itu diproses, ia boleh digunakan seramai 3,500 pengguna.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali. – MalaysiaGazette
















