KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak semula keputusan untuk tidak menggunakan undi pos pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah kepada pengundi negeri itu yang berada di Semenanjung.
Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, SPR perlu segera meluaskan kelayakan Undi Pos (Kategori 1B) kepada semua pengundi Sabah yang berada di Semenanjung.
Langkah itu merupakan penyelesaian yang paling praktikal, cekap dan kos efektif untuk membolehkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka tanpa perlu menanggung beban kewangan dan logistik yang besar untuk pulang ke Sabah.
Tambahnya, Gamis melahirkan kerisauan mendalam terhadap nasib ribuan mahasiswa dan rakyat Sabah yang kini berada di Semenanjung Malaysia untuk tujuan pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.
“Jarak geografi yang jauh dan kos penerbangan yang tinggi ke Sabah merupakan halangan utama yang secara tidak langsung menafikan hak demokrasi mereka untuk memilih kepimpinan negeri.
“Mereka adalah sebahagian daripada pengundi berdaftar yang sah, dan suara mereka sangat penting dalam menentukan masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, SPR dalam sidang akhbar mengumumkan hari pengundian bagi PRN-17 Sabah ditetapkan pada 29 November depan, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 15 November dan 25 November.
Bagaimanapun, SPR turut mengumumkan tidak akan melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung kali ini.
Sementara itu, Mohammad Azamuddin turut menuntut supaya inisiatif penerbangan dan subsidi tiket penerbangan diperkenalkan kepada mahasiswa dan rakyat Sabah untuk pulang mengundi.
Ujarnya, kerajaan melalui kerjasama dengan pihak penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS); AirAsia dan sebagainya perlu menawarkan penerbangan khas atau diskaun tambang penerbangan yang signifikan untuk mahasiswa dan rakyat Sabah di Semenanjung.
“Harga tiket semasa adalah di luar kemampuan majoriti mahasiswa dan pekerja bergaji rendah. Kami menggesa agar bantuan kewangan secara langsung (baucer atau subsidi) turut dipertimbangkan,” katanya.
Ujarnya, Gamis percaya pendidikan dan penyertaan dalam proses demokrasi adalah tiang utama pembangunan negara.
Kata beliau, mahasiswa Sabah di Semenanjung adalah pelaburan masa depan negeri dan hak mereka untuk mengundi tidak sepatutnya dikorbankan atas faktor logistik.
Sehubungan itu, Gamis menaruh harapan tinggi agar kerajaan dan SPR memberikan perhatian segera dan membuat pertimbangan wajar serta tidak membiarkan faktor kos menjadi tembok yang memisahkan pengundi dengan peti undi.
“Kami akan perjuangkan isu ini sehinggalah anak-anak Sabah yang berada di Semenanjung boleh balik mengundi pada tarikh yang telah ditetapkan.
“Dalam masa yang terdekat, kami akan berjumpa dan berhadapan dengan kementerian untuk membawa isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















