Tangkap layar video tular kereta sebuah keluarga dihalang dua kenderaan lain dalam kejadian pemerasan yang percayai berlaku berhampiran Terowong Menora Hentian Rehat dan Rawat Tapah, Rabu lalu.

IPOH — Polis kini sedang mengesan empat individu dipercayai terlibat dalam kejadian pemerasan terhadap sebuah keluarga di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah dekat sini yang tular di media sosial, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada lelaki berusia 60 tahun sekitar jam 1.23 tengah hari pada hari sama.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa bersama keluarganya yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser diekori dua kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih jenis Proton X50 dan Honda WR-V dari Terowong Menora hingga ke R&R Tapah.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian bermula apabila mangsa memotong sebuah lori di lebuh raya arah selatan sebelum didatangi suspek yang memintanya berhenti di kawasan parkir lori di R&R tersebut.

“Dua lelaki dan dua wanita telah berjumpa dengan mangsa untuk menuntut ganti rugi dan keluarga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM180 sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media berhubung kejayaan Op Tapis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jalan Pasir Puteh, di sini pada Jumaat.

Video tular: Polis kesan empat suspek terlibat kes pemerasan keluarga
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari menunjukkan gambar lakaran salah seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pemerasan di Hentian Rehat dan Rawat Tapah pada sidang media di Kompleks Latihan Sukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 OKTOBER 2025.

Mohammad Azlin berkata, semakan terhadap nombor pendaftaran Honda WR-V didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan beralamat di Terengganu, manakala Proton X50 pula berdaftar atas nama sebuah syarikat beralamat di Johor.

“Polis kini giat mengesan kesemua suspek berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farid Harun di talian 018-2196436 atau 05-4011222.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan detik cemas sebuah keluarga apabila kenderaan mereka dipercayai dihalang dua buah kenderaan lain ketika berada di lebuh raya.

Berdasarkan rakaman video tersebut, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi berhampiran Terowong Menora pada Rabu. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast