KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Terengganu mengalu-alukan keterbukaan MIC yang sedang menimbang untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) sambil menyatakan kesediaan untuk bekerjasama memperjuangkan kebajikan dan masa depan komuniti India di Malaysia.
Ketua DHPP Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, langkah MIC menilai semula kedudukannya dalam politik arus perdana menunjukkan keberanian untuk memperbaharui perjuangan dan mencari wadah baharu yang lebih dekat dengan aspirasi rakyat.
“Kami di DHPP menghormati kebebasan demokratik setiap parti politik termasuk MIC untuk menentukan hala tuju masing-masing.
“Sekiranya MIC ingin mencari ruang perjuangan yang lebih berpaksikan nilai moral, keadilan dan perpaduan, kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Balachandran, MIC telah memainkan peranan besar selama berdekad-dekad dalam memperjuangkan nasib masyarakat India, khususnya di bawah kepimpinan mendiang Tan Sri S. Samy Vellu yang komitmennya terhadap pemerkasaan komuniti kekal menjadi inspirasi hingga ke hari ini.
“Namun dalam dunia politik yang berubah pantas, adalah wajar semua pihak menilai semula pendekatan masing-masing. Perjuangan hari ini menuntut kita berpaksikan nilai kejujuran moral dan kasih sayang terhadap semua tanpa mengira bangsa atau agama,” ujarnya.
Beliau menegaskan DHPP dan Pas membuka pintu kepada semua pihak yang ingin bersama memperjuangkan keadilan sosial, perpaduan nasional dan pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai kebenaran dan integriti.
“Kita tidak bermula untuk menafikan sejarah tetapi untuk memperbaharui semangat. Jika MIC ingin bersama kami dalam agenda membina masyarakat India yang lebih bermaruah dan Malaysia yang lebih bersatu, DHPP sedia menghulur tangan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Balachandran berkata, Malaysia kini berdepan cabaran moral dan sosial yang semakin mendalam termasuk gejala kehilangan arah dalam kalangan generasi muda.
Justeru, katanya, tanggungjawab semua parti adalah untuk memimpin melalui teladan dan nilai murni, bukan sekadar retorik politik.
“Matlamat kami bukan untuk bersaing merebut jawatan tetapi untuk bekerjasama membawa perubahan. Negara ini perlu kepimpinan yang menegakkan integriti melebihi imej, perpaduan melebihi perpecahan, dan moraliti melebihi kebendaan,” tegasnya.
Beliau juga mahu semua pihak meninggalkan politik perkauman sempit dan bersama membina masa depan berasaskan nilai sejagat.
“Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menyatukan hati melalui nilai murni, bukan politik,” katanya. – MalaysiaGazette















