PENAGA – “Kita (keluarga) bukan pasal anak mati (meninggal), anak mati kita reda…ni ketentuan-Nya (Allah), yang kita tak puas hati, pasal apa hampa (mereka) tinggal dia?
Itu luahan hati Rohani Saad, 64, ibu kepada Mustaqqeem Mansor, 34, pendaki yang ditemui meninggal dunia di Gunung Liang, Perak, selepas dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama sekumpulan rakan.
Menurut Rohani, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira jam 10 malam, sehari sebelum anak sulung daripada tiga beradik itu memulakan pendakian pada 10 Oktober lalu.
“Dia (arwah) bagi salam, kata ‘Qeem nak pi (pergi) dah’. Kita (mak) tak faham ‘nak pi’ tu.

“Kemudian dia tengok telefon, saya kata ‘tengok la telefon mak ni rosak’.. tu dia kata, ‘kalau Qeem balik, Qeem tengok..rupanya baru saya faham ada maksud sebenar ayat itu,” katanya dengan nada sebak kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan luar Perkuburan Lahar Tabut di sini.
Terdahulu, jenazah Mustaqqeem selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut bersebelahan dengan pusara nenek serta datuknya kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Turut kelihatan isterinya, Nur Faratin Mohd Othman, 31, bersama ahli keluarga lain.
Rohani berkata, dia mengetahui tentang kematian anaknya selepas dimaklumkan oleh isteri Allahyarham sebelum timbul pelbagai penjelasan daripada rakan-rakan pendakian.
Jelasnya, laporan polis mengenai kehilangan arwah dibuat sendiri oleh Nur Faratin di Sungai Petani, Kedah dan tiada seorang pun rakan yang menyertai pendakian itu membuat laporan.
“Isteri anak (arwah) mengetahui mengenai kehilangan suaminya selepas dihubungi rakan sepejabat yang turut menyertai pendakian itu pada hari Rabu.
“Mula katanya kaki dia (arwah) cramp (kejang) takpa lah, dia ada dengan guide (malim gunung), depa cakap macam tu ja. Guide dia pun dua hari tinggal dia.
“Kita tak tau, depa macam-macam cerita. Katanya enam jam cari tak jumpa. Polis bomba naik tiga jam, polis bomba jumpa pun. Kenapa kata hangpa cari enam jam tak jumpa? Dia ada atas tu, puncak ja, tak pi mana,” katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Muzammeer, 33, berkata, abangnya yang bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat itu mula aktif dalam aktiviti mendaki tahun ini.
Jelasnya, arwah merancang untuk melakukan pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC), Nepal hujung tahun ini.
“Saya difahamkan ini merupakan kali ketiga dia (arwah) melakukan pendakian kerana merancang ke ABC,” katanya.
Tambahnya, keluarga berharap pihak polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti insiden sebenar.
“Harapan kami, polis siasat insiden ini dan tentang tindakan lanjut (tindakan undang-undang) kami akan bincang dulu sesama ahli keluarga,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu ditemui sudah meninggal dunia di puncak gunung, jam 3.30 petang semalam, dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung, dipercayai akibat hipotermia.
Jenazah mangsa dibawa turun dari puncak gunung itu oleh pasukan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang menggunakan helikopter. – MalaysiaGazette














