Suspek dibawa bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Suami kepada dua beranak yang mati dibunuh di Kampung Sekolah Juru, di sini semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Tempoh reman bermula hari ini sehingga 25 Oktober depan dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dan bergari tangan tiba di mahkamah sebelum dibawa keluar sekitar jam 11.05 pagi selepas perintah reman dikeluarkan.

MalaysiaGazette difahamkan, suami mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang itu ditahan untuk membantu siasatan, namun polis belum mengesahkan sama ada dia suspek utama dalam kes tersebut.

Setakat ini polis juga belum mendedahkan sebarang butiran lanjut berkaitan motif pembunuhan berkenaan.

MalaysiaGazette semalam melaporkan dua beranak ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.

Mayat wanita ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.

Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast