Gambar fail AFP

GAZA – Hamas menolak kenyataan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kumpulan pejuang itu merancang untuk melancarkan serangan terhadap rakyat Palestin sendiri.

Jabatan Negara AS pada Sabtu berkata, ia telah menerima “laporan yang boleh dipercayai” yang menunjukkan Hamas merancang serangan besar dalam masa terdekat terhadap orang awam Palestin.

AS turut memaklumkan negara penjamin perjanjian damai Gaza mengenai laporan berkenaan rancangan Hamas itu.

Namun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ahad, Hamas menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali.

“Hamas menolak tuduhan dalam kenyataan Jabatan Negara AS dan menafikan sepenuhnya dakwaan mengenai ‘serangan yang bakal berlaku’ atau ‘pelanggaran perjanjian gencatan senjata,’” kata kenyataan itu.

Menurut AS, sekiranya Hamas meneruskan rancangan serangan tersebut, ia akan menjejaskan usaha mediasi dan kemajuan ke arah keamanan, serta langkah akan diambil untuk melindungi rakyat Gaza dan mengekalkan integriti perjanjian gencatan senjata.

Gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada 10 Oktober, dengan fasa pertamanya melibatkan pertukaran tahanan, kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan pengunduran sebahagian tentera Israel.

Dalam kenyataan awal Sabtu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata, ia telah menerima mayat tebusan warga Israel ke-10 daripada Hamas, selain 20 lagi tebusan yang masih hidup. Pada sebelah malam, IDF memaklumkan bahawa mereka turut menerima dua lagi mayat tebusan warga Israel.

Sebelum itu, Hamas berkata, penutupan berterusan lintasan sempadan Rafah oleh Israel telah melambatkan operasi pemulihan serta penyerahan mayat tebusan Israel.

Keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mengekalkan penutupan lintasan itu “merupakan pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata dan pengingkaran terhadap komitmen yang dibuatnya kepada pihak pengantara dan negara penjamin,” menurut kenyataan Hamas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast