KUALA LUMPUR – Iltizam Catalyst yang diperkenalkan oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sejak tahun 2022 berjaya memperkasakan 57 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera.
Ia adalah sebuah program pembangunan kapasiti yang direka khas untuk membantu PKS bumiputera berpotensi tinggi memperkukuh asas perniagaan mereka demi pertumbuhan mampan.
Kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan berstruktur dalam membimbing usahawan tempatan membina daya tahan perniagaan dan berkembang ke skala yang lebih besar.
Ekuinas berkata, berbeza dengan program latihan konvensional, ILTIZAM Catalyst menawarkan bantuan teknikal secara langsung serta bimbingan pakar yang disesuaikan mengikut keperluan unik setiap syarikat peserta.
Katanya, PKS merangkumi sekitar 1.09 juta syarikat atau 96% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2024, sekali gus merangkumi hamper 48% daripada jumlah guna tenaga negara.
Namun, potensi untuk berkembang masih berdepan cabaran besar kerana lebih 70% PKS kekal pada tahap mikro dan hampir 60% PKS baharu tidak mampu bertahan melepasi tempoh lima tahun operasi.
“Cabaran ini banyak berpunca daripada asas operasi yang kurang kukuh. Lebih 70% PKS kekal pada skala mikro dan ramai usahawan masih bergantung kepada kaedah tradisional dengan akses terhad kepada pendekatan moden yang boleh meningkatkan produktiviti serta daya saing.
“Akibatnya, sumbangan PKS kepada eksport negara kekal rendah pada sekitar 10–12%, mencerminkan kesukaran untuk menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Menurut Ekuinas, antara sokongan berstruktur yang ditawarkan termasuk pengurusan kewangan & pematuhan, penjenamaan & pemasaran digital, penggunaan teknologi dan pembangunan kepimpinan.
Jelasnya, Iltizam Catalyst adalah percuma sepenuhnya dan tidak melibatkan bantuan kewangan tunai, menekankan pendekatan berasaskan kapasiti, bukan pemberian semata-mata.
PKS yang berminat mestilah memenuhi kriteria iaitu syarikat milik bumiputera (≥51%), berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mempunyai pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta (untuk dua tahun kewangan terkini) dan komited untuk melengkapkan keseluruhan program.
Program ini terbuka kepada PKS dari seluruh Malaysia, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat dari kawasan kurang mendapat liputan seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. – MalaysiaGazette
















