Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki termasuk seorang warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru dekat sini, pada Sabtu lalu direman selama tujuh hari.

Suspek tempatan berusia 45 tahun manakala lelaki Bangladesh berumur 46 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 26 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Masing-masing mereka ditahan di dua lokasi berasingan semalam berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan pihak polis.

Difahamkan kedua-dua tangkapan ini mengenali mangsa berusia 51 tahun itu selain polis turut merampas telefon bimbit mereka bagi membantu siasatan.

MalaysiaGazette difahamkan, polis masih dalam siasatan untuk mengenal pasti suspek utama serta motif pembunuhan dua beranak itu.

Difahamkan, polis melakukan siasatan dari pelbagai aspek termasuk dakwaan krisis rumahtangga.

MalaysiaGazette pada Sabtu melaporkan dua beranak ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.

Mayat wanita ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.

Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast