HULU SELANGOR – Seorang pemandu dipercayai maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Batang Kali, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu jam 2.14 petang.
“Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira 20 minit selepas menerima panggilan.
“Sampai di lokasi didapati sebatang pokok telah tumbang menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Kejadian itu melibatkan seorang mangsa lelaki Melayu dipercayai telah meninggal dunia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Muhklis mengesahkan, ketika ini pihaknya sedang bertungkus-lumus untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan terbabit.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















