Foto: FB Public Health Malaysia

KUALA LUMPUR –  Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan  semua pihak bahawa setakat ini tiada kit ujian kendiri influenza yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan orang awam.

Laman sosial Facebook berkaitan kesihatan itu berkata, diagnosis influenza hanya boleh disahkan oleh doktor, berdasarkan penilaian klinikal dan ujian makmal yang sah.

Tambahnya, orang ramai tidak boleh mengesahkan diri dijangkiti influenza hanya berdasarkan keputusan kit yang dibeli secara online.

“Tiada ujian kendiri influenza sebab diagnosis tak cukup hanya dengan keputusan kit.

“Doktor perlu buat penilaian menyeluruh termasuk tahap gejala, sejarah kesihatan, dan sama ada perlu ubat antiviral atau rujukan lanjut.

“Tanpa pemeriksaan rapi, rawatan boleh jadi tersilap atau tertangguh,” katanya menerusi laman sosial Facebook PHM semalam.

PHM memberi peringatan itu khususnya kepada para pekerja dan majikan susulan semakin banyak kit ujian kendiri influenza dijual di pasaran dan secara online sejak akhir-akhri ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, terdapat peningkatan kes jangkitan influenza di seluruh negara, khususnya melibatkan institusi pendidikan.

Menurut KKM, berdasarkan pemantauan Survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI), kadar konsultasi pesakit meningkat daripada 7.38 peratus kepada 9.22 peratus antara Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 dan ke-41 tahun ini.

Secara kumulatif, sejak awal tahun hingga ME ke-41, lebih 530 kluster influenza direkodkan di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast