Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Semua agensi kerajaan di negeri ini kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh berikutan fenomena La Nina yang dijangka melanda antara bulan ini hingga Disember tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menggerakkan semua agensi teknikal dan pasukan penyelamat bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum.

“Semua pihak perlu bersedia daripada agensi pengurusan bencana dan pasukan penyelamat hinggalah kepada komuniti setempat yang memainkan peranan penting memaklumkan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya pada sidang media di Komtar, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang bermula 30 September lalu dan dijangka berakhir bulan depan, sebelum bermulanya Monsun Timur Laut dari November hingga Mac 2026.

Dalam tempoh itu, Pulau Pinang dijangka menerima taburan hujan antara 60 milimeter (mm) hingga 430mm sebulan dengan antara lapan hingga 21 hari hujan setiap bulan.

“Keadaan cuaca ini boleh menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur bangunan yang lemah.

“Oleh itu, semua agensi perlu memastikan aset, logistik dan keanggotaan berada pada tahap berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengekalkan kesiapsiagaan di lapangan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah menjalankan kerja penyelenggaraan sungai, kolam takungan dan sistem perparitan di kawasan berisiko banjir, selain memeriksa stesen hidrologi serta sistem amaran awal banjir.

Katanya, Pusat Kawalan Operasi Banjir di peringkat negeri dan daerah juga sedia diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan operasi apabila diperlukan.

“Sebanyak 53 kawasan ‘hotspot’ yang berisiko tinggi mengalami banjir berulang  di seluruh negeri.

“Kawasan terlibat dikenal pasti mengalami banjir tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan paling tinggi adalah direkodkan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) membabitkan 18 lokasi.

“Daerah Barat Daya pula merekodkan 13 lokasi, diikuti daerah Timur Laut (10), manakala daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing enam lokasi,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan negeri turut mengenal pasti sebanyak 389 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku bencana.

“Pusat Arahan Bencana Negeri (SDCC) Pulau Pinang juga berada dalam kesiapsiagaan penuh dengan sistem komunikasi, pangkalan data dan talian khas bencana yang beroperasi sepenuhnya.

“SDCC akan menjadi pusat penyelarasan utama bagi mengumpul serta menyalurkan maklumat bencana secara masa nyata antara agensi peringkat daerah, negeri dan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast