Datuk Marzuki Mohamad. Foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbincang dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum membuat keputusan menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ke-8 itu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, tindakan itu tidak salah kerana ia selaras dengan dasar parti yang memang menetapkan untuk tidak bekerjasama dengan DAP.

“Presiden bertindak mengikut dasar parti.

“Turut bersama Muhyiddin dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu ialah Abdul Hadi Awang, Presiden Pas. Dasar Pas juga ialah untuk tidak bekerjasama dengan DAP,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Marzuki berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa Muhyiddin tidak berbincang dengan MT Bersatu sebelum menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dititahkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah susulan keputusan PRU15.

Wan Fayhsal berkata, keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin di hadapan YDPA ke-16 itu selepas beberapa ketua parti, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.

Dalam pada itu, Marzuki berkata, keputusan itu terbukti tepat berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

“Kalau ia satu keputusan yang salah, PN pastinya telah kalah teruk dalam PRN 2023. Tetapi faktanya tidak. PN menang besar di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” ujarnya.

Menurutnya beliau, sebahagian besar pengundi Melayu yang menyokong UMNO pada PRU15 telah beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN lalu kerana tidak bersetuju dengan tindakan UMNO bekerjasama dengan DAP.

“UMNO bincang dalam Majlis Tertinggi untuk bekerjasama dengan DAP. Tetapi kesannya UMNO ditolak oleh penyokong sendiri.

“Bersatu  tidak bincang dalam MPT keputusan menolak kerjasama dengan DAP. Kesannya, penyokong Bersatu kekal menyokong Bersatu. Malah, penyokong UMNO beralih arah menyokong Bersatu,” tambah beliau.

Marzuki berkata, keputusan Muhyiddin dan Abdul Hadi menolak cadangan membentuk kerajaan dengan DAP adalah suatu ijtihad politik yang betul.

Namun, katanya, keputusan itu kini dipersoalkan oleh segelintir pihak yang terlalu ghairah mengejar kuasa.

“Kerjasama dengan DAP pun boleh, langgar dasar parti pun boleh, asalkan jadi kerajaan.

“Bagi mereka kuasa adalah segala-galanya. By hook or by crook mesti dapatkan kuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah pilihan raya membuktikan menjadi kerajaan tidak menjamin kemenangan.

“Dalam PRU 12 parti kerajaan hilang majoriti dua pertiga, PRU 13 hilang undi popular, PRU 14 dan PRU 15 parti kerajaan kalah pilihan raya. Kerajaan yang ada hari ini pun tidak popular. Jadi, janganlah gelojoh sangat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast