P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Keputusan MIC untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya benar-benar berlaku akan menjadi tamparan politik besar kepada Kerajaan Madani.

Ini kerana, kata Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy, keputusan itu bukan semata-mata memberi kesan kepada BN, tetapi secara tidak langsung terhadap gabungan pelbagai kaum dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, sejak pilihan raya negeri (PRN) 2023, sokongan masyarakat India terhadap Kerajaan Madani semakin merosot.

Dakwanya, selepas tiga tahun berkuasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat seolah-olah telah kehabisan daya tarikan dramatiknya terhadap masyarakat India.

Situasi itu, jelas beliau, diburukkan lagi dengan pergeseran yang berlaku antara MIC dan UMNO di dalam BN.

“Punca utama masalah dalam BN sebenarnya berpunca daripada hubungan antara UMNO dan MIC.

“Tidak perlu menjadi pakar politik untuk mengetahui bahawa MIC telah diketepikan oleh UMNO.

“Hubungan lama yang telah dipupuk antara UMNO dan MIC kini hilang begitu sahaja.

“Sikap tidak hormat UMNO terhadap parti India itu, penafian jawatan politik dan pelbagai isu lain telah menjejaskan kepercayaan dan keyakinan MIC,” kataya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, menurut Ramasamy, kecenderungan Perikatan Nasional (PN) menarik MIC menyertai gabungan politik itu bukan kerana ia mempunyai sokongan kuat dalam kalangan masyarakat India.

Tetapi, katanya, kejayaan menarik sebuah parti prokerajaan yang telah lama wujud ke pihak pembangkang akan memberi kesan simbolik besar terhadap kerajaan yang sedang memerintah.

“Namun, jika kepimpinan MIC terus teragak-agak dalam membuat keputusan, parti itu akan kehilangan sedikit sebanyak kredibiliti yang masih ada,” katanya.

Tambah beliau, ujian sebenar bagi MIC yang telah lama bertapak dalam dunia politik adalah sama ada parti itu masih mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat India.

Jelasnya, tanpa asas sokongan kukuh daripada masyarakat yang berasa terpinggir dan didiskriminasi, MIC mungkin tidak lagi menjadi aset politik kekal, sama ada kepada pihak pembangkang mahupun kerajaan pemerintah.

“Jemputan terkini oleh PN untuk menyertai gabungan pembangkang merupakan detik jarang berlaku dalam sejarah negara yang menonjolkan kepentingan MIC.

“Persoalannya kini ialah bagaimana kepimpinan MIC akan mengambil peluang ini untuk memastikan kelangsungan dan relevansi politiknya di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, tanpa usaha memperkukuh asas politik dan sosialnya, MIC berisiko ditelan oleh euforia politik semasa sekiranya ia gagal merangka strategi politik yang berhati-hati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast