Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan yang didakwa dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan malah, menimbulkan keresahan dalam kalangan jemaah.

“Apabila ditegur oleh orang ramai yang berada disitu mereka menjawab kami polis. Masuk dalam masjid pakai kasut, memasuki kawasan (solat) perempuan dan melakukan penggeledahan dan sebagainya menimbulkan rasa cukup tidak senang dikalangan rakyat yang berada disitu.

“Saya pun ada banyak dokumen dan video yang diambil daripada rakaman CCTV masjid mengenai kejadian itu, sekumpulan orang ini menyerbu ke dalam masjid.

“Apabila pihak pengurusan masjid membuat laporan polis di balai polis Marang, satu dokumen daripada APMM ditemui bertajuk ‘Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan (SERE) Kursus Asas Komando Star Team Seri 1/2025’, disebutkan disini apa yang berlaku itu adalah latihan komando APMM dalam sebuah masjid, tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid. Apa ini?” soalnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin kemudian menuntut penjelasan terperinci mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi latihan agensi penguatkuasaan di tempat awam dan tempat ibadat, khususnya apabila latihan melibatkan taktik komando.

Beliau menegaskan, tindakan seumpama itu, tanpa notis kepada pengurusan masjid atau komuniti, boleh menimbulkan panik malah, boleh disifatkan menimbulkan fear factor sama seperti peristiwa Memali pada 1985 yang tetap sensitif dalam ingatan umum.

“Adakah itu SOP KDN? Kalau saya kebetulan berada di situ, kalau saya memiliki atau membawa senjata api yang saya lesen, saya akan, I will open fire, saya akan tembak, kalau itu ancaman yang berlaku dalam sebuah masjid, apakah ini gara-gara ulangan peristiwa Memali tahun 1985? Penyerangan terhadap tempat suci dan rumah ibadat rakyat.

“Ini bukan kerana ianya masjid, kalau ini berlaku dalam satu gereja atau dalam satu tempat pun, kami menentang apakah yang berlaku, apa latihan komando dibuat di tempat ibadat rakyat Malaysia?

“Apa benda latihan komando dibuat didalam rumah ibadat rakyat Malaysia. Nama pun APMM, apa cerita? Pergilah buat latihan di laut. Ini kita cukup pelik, benda-benda pelik di bawah KDN, we do respect.

“Saya mohon perkara‑perkara ini diberikan penjelasan yang sejelas‑jelasnya daripada pihak kerajaan,” tegasnya.

Sementara itu mengulas perkara yang dibangkitkan Takiyuddin,  Datuk Awang Hashim (PN- Pendang) melahirkan kebimbangan dan membangkitkan persoalan, apakah usaha tersebut dibuat sebagai serangan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Apakah ini perancangan untuk membunuh Presiden Pas yang ada di Masjid Rusila itu?”

Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan pihaknya tidak mahu membuat andaian sebegitu, namun mempersoalkan kenapa ia mesti diadakan di Rusila.

“Kita tidak membuat andaianlah, tetapi kenapa Marang? Kenapa Rusila? Kenapa masjid? Ini APMM, bukan komando tentera darat. Kalau latihan komando, buatlah di laut. Ini pelik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast