TANGKAP layar laporan berita palsu yang tular di media sosial. - Foto: FB Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan tangkap layar laporan berita yang tular di media sosial kononnya Pas tidak bercadang menerima Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau, Tuan Ibrahim meminta semua ahli Pas dan penyokong Perikatan Nasional (PN) bertenang dan tidak cepat melatah, serta menapis terlebih dahulu setiap berita yang diterima.

“Suhu pilihan raya semakin panas. Nampak gayanya ada pihak yang semakin terdesak dengan membuat fitnah sebegini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar laporan berita kononnya diterbitkan oleh sebuah akhbar yang mendakwa Pas tidak bercadang menerima Wan Ahmad Fayhsal menjadi ahli parti itu buat masa ini.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang selama satu penggal selepas didakwa melanggar Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.

Pada 8 Oktober lalu, Wan Ahmad Fayhsal bersama enam lagi pemimpin Bersatu termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan  dipanggil oleh Lembaga Disiplin berhubung beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan tindakan ke atas Wan Ahmad Fayhsal itu, beberapa pihak mencadangkan bekas Ketua Armada berkenaan keluar daripada Bersatu dan menyertai Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast