KUALA LUMPUR – Sebanyak 85 kontraktor bumiputera gred G1 dan G2 yang berdaftar di Kelantan, Terengganu dan Pahang dipilih untuk menyertai Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Bumiputera untuk membangunkan kerja-kerja di 20 stesen di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merentasi empat negeri terbabit.
Jumlah yang dipilih ini adalah daripada 448 kontraktor kecil bumiputera yang disenarai pendek melalui proses saringan yang telus dan berintegriti.
Penyertaan kontraktor bumiputera itu merangkumi pelaksanaan pakej-pakej kerja kecil seperti pemasangan papan tanda, penyediaan perabot jalan, pemasangan pagar, serta kerja-kerja pengurusan landskap di 15 stesen ECRL yang terletak di jajaran Pantai Timur.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd. berkata, peluang ini merupakan komitmen MRL dan CCC(ECRL) untuk memperkukuh penyertaan kontraktor bumiputera tempatan, di samping memastikan manfaat ekonomi projek ini turut dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat.
Menurutnya, majlis cabutan undi telah berlangsung di Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan pada hari ini bagi memuktamadkan pemilihan kontraktor Bumiputera G1 dan G2 dalam melaksanakan skop kerja yang bersesuaian di dua stesen ECRL di negeri Kelantan.
Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Sub-Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 bagi Projek ECRL di Negeri Kelantan’ telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.
Manakala cabutan undi untuk enam stesen ECRL di Terengganu akan diadakan pada 29 Oktober dan tujuh stesen ECRL di Pahang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini.
Proses menyenarai pendek kontraktor bumiputera gred G1 dan G2 di Selangor pula masih berjalan dan dijangka siap pada masa terdekat dan cabutan undi melibatkan lima stesen ECRL di Selangor akan berlangsung menjelang akhir November 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, MRL dan CCC(ECRL) akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam memastikan sebanyak mungkin nilai kontrak bagi kontraktor kecil bumiputera sehingga tamat fasa pembinaan ECRL.
Ia selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam mengutamakan penyertaan kontraktor tempatan serta bumiputera dalam pembinaan Projek ECRL yang sepanjang 665 kilometer.
ECRL adalah projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion oleh Kerajaan Malaysia yang telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada ‘Inisiatif Jalur dan Laluan’ (BRI) oleh Kerajaan China, unjuran dari hubungan diplomatik yang padu serta aktiviti ekonomi yang aktif antara Malaysia dan China.
MRL dan CCC(ECRL) telah mencapai persetujuan pembinaan projek mega ini turut melibatkan 40 peratus penyertaan kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil yang dianggarkan bernilai hingga RM10.8 bilion.
Setakat September 2025, projek ECRL sepanjang 665 kilometer telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 88.08 peratus sejajar dengan jadual penyiapan jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.
Jajaran ECRL Fasa 2 antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028. – MalaysiaGazette
















