KUALA LUMPUR – Malaysia satu-satunya negara yang mengumpulkan negara-negara yang berlainan pandangan, pendirian dan hubungan menerusi Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal bermula minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan semata-mata kerana persidangan tersebut tetapi kerana prinsip Malaysia yang memilih untuk bersahabat dengan semnua negara demi menjaga kepentingan rakyat dari aspek perdagangan, hubungan antarabangsa dan pelaburan.
“Sekurang-kurangnya, Malaysia dengan dasar centrality adalah satu-satunya negara yang mengumpulkan negara-negara yang agak berlainan pandangan dan kita terima mereka itu bukan kerana ASEAN sahaja tetapi kerana dasar luar kita yang memilih untuk bersahabat dengan semua demi menjaga kepentingan rakyat Malaysia dari segi perdagangan, hubungan antarabangsa, geopolitik dan pelaburan yang membawa faedah kepada rakyat,” katanya Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Malah Anwar menegaskan, hubungan dengan pelbagai negara yang antaranya saling tidak berhubung baik tidak menghalang Malaysia untuk mengambil keputusan yang bebas.
“Apakah kita dapat teruskan peranan seperti Pengerusi ASEAN tentunya tidak sebab akan ada perubahan. Tetapi hubungan Malaysia hubungan antarabangsa, baik dengan negara Arab, Asia, Amerika, Eropah,masih baik. Presiden Russia, Putin masih berhubungan baik dengan kita walaupun tidak disenangi oleh banyak negara Eropah,” katanya lagi.
Terdahulu beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata Malaysia bersedia memimpin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan prinsip dan keyakinan, sekali gus terus mempertahankan kepusatan serantau, memperkukuh perdagangan bebas, keamanan serta membawa suara negara selatan ke pentas dunia termasuk isu Gaza.
Semalam Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN minggu ini bukan sekadar medan diplomasi tetapi satu peluang besar untuk memperkukuh jaringan ekonomi, pelaburan dan transformasi serantau yang mampan.
Beliau berkata, Malaysia berjaya mengekalkan kestabilan dan daya tahan ekonomi sejak merdeka hasil dasar-dasar berhemah yang menekankan pertumbuhan seimbang antara kewangan, tenaga dan transformasi digital.
Sebagai rekod, Sidang kemuncak ASEAN Ke-47 bermula pada 26 Oktober hingga 28 Oktober.- MalaysiaGazette
















