Dua lelaki mati lemas di Pantai Chenang, Langkawi semalam.

LANGKAWI – Kegembiraan dua sahabat bercuti bertukar tragedi apabila kedua-duanya ditemui lemas ketika mandi di Pantai Chenang di sini semalam.

Mangsa, R.Nurenthiran, 38, dan M. Suresh, 46, masing-masing berasal dari Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 6.05 petang.

“Orang awam yang berada di lokasi menggunakan jet ski untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa sebelum membawa mereka ke pantai dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan di wad kecemasan hospital berkenaan mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Samsulmuddin, hasil siasatan awal mendapati mangsa datang dari Selangor bersama keluarga untuk bercuti di Langkawi.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Unit Forensik HSM untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast