KUALA LUMPUR – Kapal tinjau milik Petronas yang dikepung dan dihalau oleh kira-kira seratus bot nelayan tradisional di perairan berhampiran Ketapang, Pulau Madura, Indonesia tidak menceroboh kawasan negara jiran.
Sebaliknya jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kapal tersebut melakukan aktiviti cari gali di kawasan milik Malaysia.
“Petronas itu hanya cari gali di kawasan yang tetap milik kita dan tidak menceroboh kawasan lain,” katanya Ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengajukan soalan tentang pendirian kerajaan tentang isu persempadanan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, insiden berkenaan telah diselesaikan secara baik.
“Gangguan itu tidak sampai ke tahap kita perlu hubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan kita leraikan sebagai sahabat.
“Ada kes-kes pencerobohan nelayan Malaysia-Indonesia, Indonesia-Malaysia, kita cuba leraikan dengan baik, rundingan telah dicabai tetapi ada beberapa yang belum dimuktamadkan,” katanya lagi.
Pada 17 Oktober lalu dilaporkan, suasana tegang tercetus di perairan Ketapang, Sampang, Madura apabila ratusan nelayan tempatan mengepung kapal tinjauan milik syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas.
Tindakan itu dibuat mereka sebagai membantah aktiviti tinjauan di kawasan Sumur Barokah yang didakwa mengganggu laluan penangkapan ikan tradisional.
Dalam beberapa video yang diterbitkan oleh laman web Indonesia Tribunnews, sekumpulan perahu nelayan dilihat menghampiri dan mengelilingi kapal Petronas sekitar tengah hari.
Nelayan di atas bot-bot tersebut kedengaran menjerit ke arah kapal Petronas, Prospero 9 supaya menghentikan operasinya dan segera meninggalkan kawasan itu.
Menurut laporan berkenaan, seorang nelayan bernama Faisol Rahman berkata, kapal Petronas itu telah beroperasi di kawasan tersebut tiga hari sebelum konfrontasi berlaku.- MalaysiaGazette
















