KENYATAAN Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung isu pelantikan Ahli MPP Zon Setiawangsa. - Foto: FB Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa lantikan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Setiawangsa bagi sesi terbaharu tidak lagi dibuat menerusi syor beliau.

Sebaliknya, kata bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, lantikan Ahli MPP itu kini dipilih daripada senarai Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki dan bukan lagi melalui ahli Parlimen.

Malah, ujar beliau, Afdlin sendiri dilantik sebagai Pengerusi MPP Zon Setiawangsa.

Jelasnya, sebelum ini, pelantikan Ahli MPP Zon Setiawangsa disyorkan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa dengan meliputi beberapa aspek utama seperti wakil persatuan penduduk, jawatankuasa masjid atau surau dan wakil rumah ibadat bukan Muslim.

Malah, ujar Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, pihaknya turut memasukkan anggota parti politik Kerajaan Perpaduan dalam lantikan itu.

Tambah beliau, pelantikan Ahli MPP oleh Ahli Parlimen seperti sesi sebelum ini telah memberi kemudahan kepada masyarakat setempat memandangkan wakil rakyat mempunyai mandat dari pengundi, bukan hanya anggota parti.

“Sebelum ini sepanjang dua penggal menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa, hanya ketika saya menjadi Ahli Parlimen Pembangkang selama 33 bulan ahli MPP tidak dilantik dari senarai cadangan saya.

“Setahu saya, selain tiga Ahli Parlimen PKR – Setiawangsa, Wangsa Maju dan Batu – yang tewas dalam pemilihan Cabang, Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan yang lain diberikan wewenang untuk menghantar senarai kepada menteri.

“Tindakan terbaharu ini agak janggal memandangkan saya bukan Ahli Parlimen Pembangkang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

MPP merupakan sebuah badan di bawah penyeliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang berfungsi sebagai penghubung antara penduduk dengan kerajaan khususnya dalam menyuarakan permasalahan dan keperluan masyarakat setempat.

Sehubungan itu, kata Nik Nazmi, sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat oleh MPP Setiawangsa kini adalah tidak berkaitan dengan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa.

Jelas beliau, sekiranya warga Setiawangsa ingin berurusan dengan Pusat Khidmat beliau, boleh berhubung menerusi e-mel di [email protected] atau talian +60 18-264 0065.

“Sebagaimana saya cuba sedaya upaya saya memberikan khidmat terbaik sejak 2018 sebagai wakil rakyat penyokong kerajaan, pembangkan dan menteri, susah dan senang, saya akan terus bekerja untuk warga Setiawangsa dan bersama semua pemegang taruh kerajaan dan komuniti,” katanya.

Pada pemilihan PKR April lalu, Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada Afdlin.

Afdlin yang juga pelakon dan pengarah filem terkenal, menang setelah memperoleh 631 undi berbanding Nik Nazmi (563 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast