LONDON – Bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney percaya aksi penuh bersemangat Harry Maguire menentang Liverpool membuktikan dia layak mendapat tempat dalam skuad Piala Dunia kendalian Thomas Tuchel tahun depan.
Katanya yang berusia 39 tahun, Maguire yang bek tengah kini menjadi pemain sangat penting untuk pasukan England dan dia telah membuktikan segala-galanya.
“Para pemain menghormatinya dan perkara yang sama berlaku di Manchester United.
“Dia boleh sahaja berputus asa dan memilih untuk meninggalkan kelab selepas dilucutkan lilitan kapten. Itu bukan sesuatu yang mudah. Maruah diri pemain sudah tentu teruji,” katanya dalam program The Wayne Rooney Show.
Maguire yang berusia 32 tahun itu muncul wira dengan tandukan lewat permainan yang menghadiahkan kemenangan pertama Manchester United di Anfield dalam tempoh hampir sedekad.
Rooney menambah, Maguire membalas segala kritikan dengan aksi mantap menentang Liverpool memperlihatkan semangat kepimpinan yang tinggi dan menerbitkan ancaman di situasi bola mati.
“Itulah sebabnya tanpa ragu-ragu saya akan bawa dia ke Piala Dunia,” tegas Rooney yang juga bekas penyerang England. – Agensi
















