Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung dakwaan penipuan skim pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) semalam.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung dakwaan penipuan skim pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa memperdaya puluhan pelabur sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM43.7 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, aduan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada 69 individu yang mendakwa menjadi mangsa kepada sebuah syarikat yang menawarkan janji pulangan sewa terjamin selepas pembelian unit hartanah dalam satu projek pembangunan.

Menurut beliau, berdasarkan dokumen dan testimoni yang diterima, kesemua mangsa mendakwa mereka dimanipulasi untuk membeli unit-unit tersebut atas janji akan menerima pulangan sewa tetap antara lapan hingga 12 peratus setahun.

Namun, janji itu tidak pernah dipenuhi selepas projek disiapkan.

“Jumlah keseluruhan nilai pembelian yang terlibat ialah RM43,740,208.66. Kebanyakan mangsa kini menanggung beban hutang tinggi apabila janji pulangan sewa tidak ditunaikan. Ada yang terpaksa membayar pinjaman bank walaupun unit tidak disewakan atau dijana keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Hishamuddin menjelaskan, konsep pelaburan GRR telah lama wujud di pasaran dan mula diperkenalkan sekitar tahun 2000 oleh beberapa syarikat hartanah.

Namun, katanya, kebelakangan ini ia kembali dipromosi secara agresif melalui pelbagai iklan dan media sosial dengan janji pulangan lumayan tanpa risiko.

“Hasil nasihat daripada panel peguam MHO mendapati skim GRR ini tidak dikawalselia oleh mana-mana agensi penguatkuasaan, sekali gus menjadikannya sangat berisiko dan membuka ruang kepada manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menambah, hasil siasatan awal juga mendapati terma atau klausa berhubung GRR tidak dimasukkan dalam mana-mana perjanjian jual beli yang ditandatangani oleh pelabur.

“Apabila mangsa menyoal tentang perkara ini, syarikat hanya memberi penjelasan umum tanpa sebarang pengesahan bertulis,” katanya.

MHO sebelum ini telah membantu mangsa membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada awal September lalu, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

Oleh itu, langkah menyerahkan aduan kepada BNM diambil bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah undang-undang berkaitan perlindungan pengguna dan kewangan.

Berdasarkan pengalaman lalu, banyak syarikat yang menawarkan skim GRR hanya ‘syarikat cengkerang’ (shell company) yang kemudian melarikan diri atau membubarkan operasi bagi mengelak tanggungjawab selepas mengutip jutaan ringgit daripada pelabur.

Sehubungan itu, MHO menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan skim GRR secara tidak sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast