Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (kiri) melakukan lawatan persiapan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalinkan rundingan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan berhubung rancangan mengadakan perhimpunan menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perhimpuan tersebut dijangka akan berlangsung pada 26 Oktober ini di sekitar Ampang Park berdekatan dengan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan himpunan berkenaan tidak diteruskan kerana ia boleh menjejaskan imej dan reputasi negara di peringkat antarabangsa, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober nanti.

“Berkaitan perhimpunan menolak kedatangan Presiden AS, Donald Trump yang dijangka berlangsung pada 26 Oktober ini, kami sedang berusaha menjalinkan rundingan berterusan dengan NGO dan pihak terlibat termasuk  beberapa persatuan politik bagi memastikan ia tidak diteruskan kerana melibatkan imej negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau raptai persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Menurut Mohd Khalid, jika rundingan tersebut mahu diteruskan, alternatif lain telah diberi bagi penganjuran lokasi tersebut.

“Pada masa sama, kami turut menawarkan lokasi alternatif seperti Padang Merbok yang lebih sesuai untuk penganjuran perhimpunan dengan kemudahan liputan dan lain-lain.

“Rundingan ini kita akan teruskan bagi memastikan provokasi yang tidak diingini dapat dielakkan kerana ia melibatkan banyak pihak bukan hanya satu atau dua NGO tetapi juga beberapa pertubuhan lain yang berkaitan.

“Ini bertujuan bagi mengelak sebarang bentuk provokasi atau tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” tambahnya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berucap pada sidang media berkenaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2025.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan atau menggugat ketenteraman awam sepanjang penganjuran sidang kemuncak tersebut.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keamanan.

“Kita mahu rakyat bersama-sama menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dengan semangat perpaduan dan patriotisme.

“Keprihatinan rakyat merupakan tunjang penting kepada keselamatan negara dan kestabilan sosial,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast