Menang Idaman Sdn. Bhd.
Menang Idaman Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR – Penantian penduduk dua daerah iaitu Jerantut dan Lipis terhadap bagi mendapatkan laluan lebih selesa dan selamat berakhir apabila pembinaan projek infrastruktur yang menghubungkan kedua-dua kawasan itu siap lebih awal daripada jadual asal.

Projek berimpak tinggi itu bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan, malah diyakini mampu merancakkan kegiatan ekonomi desa serta membuka peluang baharu dalam bidang keusahawanan dan pelancongan.

Menurut kenyataan Menang Idaman Sdn. Bhd. (MISB) selaku kontraktor lantikan, jalan dan jambatan berkenaan menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis.

“Dengan adanya laluan baharu ini, jarak perjalanan yang dahulunya sejauh 60 kilometer (km) dan memakan masa hampir sejam kini hanya mengambil masa 15 minit dengan jarak 17km.

“Ia bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi turut meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah MISB, Mohd. Tarmizi Mohd. Zuki berkata, pihaknya berdepan pelbagai cabaran termasuk kejadian jambatan sementara runtuh sebanyak tiga kali akibat bencana alam, namun pasukannya tetap beriltizam menyiapkan projek itu mengikut jadual.

“Setiap cabaran dijadikan pengajaran. Kami menambah baik struktur dan memastikan jambatan kekal kukuh, tahan lama serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.

Projek yang diselia Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana itu dibuka kepada penduduk pada 31 Ogos lalu, lebih awal daripada jadual asal pertengahan September.

Majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Selain memperkukuh hubungan antara Jerantut dan Lipis, laluan baharu itu turut menjadi laluan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Cameron Highlands, sekali gus membuka ruang pembangunan baharu di wilayah tengah Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast