KUALA LUMPUR – “Jangan ketika rakyat Palestin bermandi darah dan kebuluran di bumi Gaza, Trump disambut dengan gah dan gilang gemilang di bumi Malaysia”.
Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, Malaysia sepatutnya menunjukkan prinsip yang tegas terhadap penolakan Israel dan negara yang bersekutu dengannya.
“Malaysia mesti menyatakan sikap yang tegas dan berprinsip secara berterusan terhadap rejim Zionis Israel dan para sekutunya termasuk Amerika Syarikat (AS) yang bersekongkol melakukan jenayah genosid ke atas rakyat Palestin,” katanya lagi.
Sehubungan itu katanya PN membantah kehadiran Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bermula minggu ini.
Jelasnya, bantahan tersebut dalam masa yang sama merupakan suara mewakili rakyat.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, PN menzahirkan kemarahan dan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pentadbiran AS yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan Belanjawan 2026.
Selasa lalu, Trump secara rasmi mengesahkan akan menghadiri mesyuarat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang bermula Ahad ini.
Meskipun banyak yang membantah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya mempertahankan tindakannya menjemput Trump.
Jelasnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk menyuarakan isu Palestin.-MalaysiaGazette
















